Rasulullah saw berpoligami untuk kebaikan masyarakat

Poligami sering menjadi isu kontroversi dalam masyarakat kita. Islam membolehkan umatnya berpoligami namun ia bukan boleh berlaku sewenang-wenangnya. Keharusan berpoligami mempunyai hikmah bagi kepentingan serta kesejahteraan umat Islam. Poligami bertujuan menghalang terjadinya perceraian antara pasangan. Selain itu, poligami dapat menyelesaikan jumlah ‘gadis berumur’ supaya mereka juga dapat merasa nikmat kehidupan berumah tangga dan berkeluarga.

Jika itu berlaku, jelaslah poligami dibolehkan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi nafsu seks bagi lelaki semata-mata tetapi ia mempunyai maksud serta tujuan kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Islam tidak memandang mudah syarat yang dikenakan kepada suami yang ingin berpoligami. Sebab itulah tanggungjawab yang mereka perlu pikul bukan satu tugas mudah.

Rasulullah s.a.w sendiri menikah dengan isteri-isterinya atas dasar untuk membantu dan memberi perlindungan kepada mereka. Contohnya Rasulullah menikahi Siti Saudah binti Zam’ah kerana beliau kematian suami.

Seluruh kaum kerabat Siti Saudah adalah orang musyrik. Usia Siti Saudah ketika itu 66 tahun. Namun baginda tidak mahu membiarkan Siti Saudah bersendirian kerana bimbang Islamnya terancam.

Rasulullah juga menikah dengan Siti Aisyah dan Siti Hafsah sebagai penghargaan kepada orang tua mereka. Ibu bapa mereka adalah sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khatab.

Begitu juga halnya ketika Rasulullah menikah dengan Ummu Salamah (Hindun binti Abi Umayah bin Almuqirah). Ummu Salamah adalah salah seorang yang turut serta dalam penghijrahan ke Habsyah dan Madinah. Suaminya, Abu Salamah meninggal dunia dan mereka mempunyai anak yang masih memerlukan didikan. Rasulullah menikahi Ummu Salamah demi memuliakannya.

Selain itu, Ummu Salamah juga memiliki sifat terpuji dan termasuk daripada golongan yang awal menganut Islam. Jelas, Rasulullah berpoligami demi menguatkan ikatan kasih sayang antara kerabat dan kabilah isteri-isterinya supaya mereka memeluk Islam.

Poligami yang dilaksanakan Rasulullah sarat dengan pengajaran penting serta hikmahnya. Baginda tidak melakukannya secara sesuka hati atau tanpa pertimbangan yang wajar.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka nikahilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut dia tidak akan dapat berlaku adil, maka nikahilah seorang saja” (Surah An-Nisa’ ayat 3).

Dalam ayat berkenaan lelaki dibolehkan menikah sampai empat wanita dengan syarat yang berat sekali yaitu mesti berlaku adil antara isterinya mengenai nafkah serta giliran. Tetapi jika kita tidak dapat berlaku adil maka hendaklah seseorang itu beristeri seorang saja. Hikmahnya ialah orang lelaki pada zaman Nabi Muhammad bilangan nya sedikit berbanding wanita disebabkan banyak yang meninggal dalam peperangan.

Oleh karena itu dibolehkan lelaki menikah lebih daripada seorang supaya janda yang kematian suami mendapat bantuan dan perhatian sewajarnya. Rasulullah cuma menikah dengan seorang gadis manakala yang lain semuanya janda bagi membantu kehidupan mereka.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara perempuan-perempuan itu meskipun kamu sangat ingin perempuan-perempuan itu, meskipun kamu sangat ingin demikian itu, sebab itu janganlah kamu terlalu cenderung sehingga kamu tinggalkan perempuan yang lain sebagai seorang yang tergantung. Jika kamu perbaiki (kesalahanmu) dan bertakwa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang” (Surah An-Nisaa’ ayat 129).

Poligami sebenarnya menjadi penyelesaian kepada masalah. Ia sama juga seperti talak yang dibolehkan kerana mau mencari jalan keluar daripada kesulitan. Bermakna, poligami tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya tetapi perlu berdasarkan nash syariat serta realitas keadaan masyarakat.

Menjadi lumrah kehidupan di dunia, tidak semestinya semuanya indah belaka tetapi Allah akan sentiasa menguji kita dengan berbagai dugaan untuk menilai kesabaran dan ketabahan hamba-Nya.

Dengan tegas diterangkan tuntutan supaya suami bersikap adil jika ingin berpoligami. Seorang suami yang sering kali sakit dan mengalami kesukaran keluar mencari rezeki sudah tentu tidak dapat menanggung isteri-isterinya.

Setiap isteri berhak mendapatkan hak masing-masing daripada suaminya. Dalam soal ini, suami tidak boleh mengurangi nafkah seorang isterinya dengan alasan isteri mempunyai sumber kewangan sendiri.

Prinsip adil tidak mengira sama ada mereka gadis atau janda, muda atau tua atau taraf pendidikan. Semuanya mempunyai hak sama rata sebagai isteri. Adil dalam memberikan tempat tinggal dan ulama sepakat mengatakan suami bertanggungjawab menyediakan tempat tinggal masing-masing kepada setiap isteri dan anak sesuai dengan kemampuannya.

Jangan sampai berlaku pertengkaran atau saling cemburu antara mereka. Menyusun giliran aspek yang begitu penting jika hidup berpoligami. Isteri berhak mendapat giliran suaminya menginap di rumahnya sama dengan waktu menginap di rumah isteri yang lain. Tujuan perkawinan dalam Islam bukanlah untuk memenuhi tuntutan hubungan seks dengan isteri semata-mata tetapi ia bermaksud menyempurnakan ikatan kasih sayang, kemesraan dan kerukunan antara suami isteri.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya, dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” (Surah ar-Ruum ayat 21).

Anak juga mempunyai hak mendapatkan perlindungan serta kasih sayang daripada ayahnya. Sebab itu disyaratkan agar setiap suami yang mau berpoligami tidak membeda-bedakan antara anak mereka yang berlainan ibu itu.

Siti ‘Aisyah r.a menerang kan, maksudnya: Bahawa Rasulullah s.a.w selalu berlaku adil dalam mengadakan pembagian antara isteri-isterinya. Beliau berkata dalam doanya: “Ya Allah, inilah kemampuanku membagi apa yang ada dalam milikku. Ya Allah, janganlah aku dimarahi dalam membagi apa yang menjadi milikku dan apa yang bukan milikku.”